ABSTRAK
Suasana sesebuah bilik darjah mempunyai peranan besar dalam menghasilkan aktiviti pembelajaran yang baik. Oleh itu, pelbagai aspek perlu diambilkira sebelum bilik darjah pendidikan khas (PK) dibina atau diubahsuai. Bilik darjah yang sempit sudah cukup untuk menjadikan suasana pembelajaran menjadi hambar dan menyukarkan. Adalah wajar semua bilik darjah PK dibina secara terancang dan memenuhi ciri-cirinya sebagai sebuah ruang pembelajaran. Program PK memerlukan tandas bersesuaian, laluan bagi kanak-kanak kurang upaya fizikal, perabot, dan ruang penyimpanan Alat Bantu Mengajar (ABM). Persekitaran bilik darjah yang ceria dan menarik boleh menarik minat murid-murid PK untuk belajar dengan tekun. Namun tidak dinafikan masih terdapat banyak lagi bilik darjah PK berada pada tahap kurang memuaskan. Terdapat beberapa pihak yang bertanggungjawab kurang mengambil berat tentang perkara ini. Oleh itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui sejauhmana kesesuaian infrastruktur fizikal sekolah dan program integrasi pendidikan khas di seluruh negara. Seramai tiga ratus sembilan belas responden yang terdiri daripada guru pendidikan khas telah memberikan pandangan mereka. Majoriti mereka kurang berpuas hati terhadap infrastruktur bilik darjah di sekolah mereka. Mereka juga menyatakan bahawa bilik darjah yang disediakan sempit dan tidak sesuai dengan bilangan murid. Mereka juga menyatakan bahawa terdapat sebahagian murid yang terpaksa berkongsi bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam terutama amali mengambil wuduk dan solat. Masalah lain yang turut dihadapi oleh mereka ialah kekurangan bahan bantu mengajar dan kemudahan yang terhad bagi pelajar yang kurang upaya. Kajian juga mendapati bahawa kelengkapan infrastruktur multimedia masih tidak mencukupi. Secara keseluruhan dapatlah disimpulkan bahawa infrastruktur bilik darjah sekolah dan program integrasi pendidikan khas di negara ini masih memerlukan banyak pembaikan dan peningkatan. Justeru itu pembinaan dan pengubahsuaian bilik darjah pendidikan khas perlu dilakukan mengikut satu speksifikasi standard yang diperakui pihak berkuasa.
Full Text: download
0 comments:
Post a Comment